Warga UiTM Melaka Teruskan Amalan Bersahur


ALOR GAJAH- Warga Unit Pentadbiran Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEP) bersama-sama dengan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka meneruskan amalan bersahur sekaligus telah merealisasikan program KETUK-KETUK RAMADHAN di kediaman para pelajar yang menetap di luar kampus ‘Non-Residents’ pada 07 Ogos 2011.
Program tersebut dirancang dengan objektif utamanya adalah untuk merapatkan jurang diantara warga HEP, MPP serta para mahasiswa UiTM yang menetap di luar kampus. MPP UiTM Melaka telah memilih perumahan di Taman Dimensi serta Taman Intekma kerana majoriti mahasiswa UiTM Melaka memilih untuk menetap di kawasan perumahan tersebut.
Program berkaitan yang bermula pada jam 2 pagi itu telah disertai oleh Encik Baharim Samuri, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UiTM Cawangan Melaka.
Turut hadir adalah pegawai-pegawai eksekutif serta kakitangan dari Unit Pentadbiran HEP, barisan MPP dan seketeriat serta Majlis Tertinggi ‘Non-Residents’ UiTM Melaka.
Mereka telah bersama-sama berjalan dari rumah ke rumah bagi mengagihkan lebih dari 300 bungkus makanan serta minuman untuk bersahur.
Menurut Baharim, peranan MPP yang sewajarnya bukan sekadar menjaga kebajikan para mahasiswa di dalam kampus sebaliknya juga para mahasiswa di luar kampus.
Beliau turut menjelaskan bahawa program sebegini merupakan salah satu program khidmat bakti yang sewajarnya diteruskan dari semasa ke semasa.
Tambah beliau, program sebegini dianjurkan adalah selaras dengan hasrat Dato’ Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Canselor UiTM bahawa tahun ini merupakan Tahun Kebajikan Pelajar 2011.
Beliau meletakkan harapan yang tinggi agar para penuntut UiTM bukan hanya perlu menumpukan kejayaan dari segi akademik semata-mata malahan para penuntut ini dipohon agar lebih komited merealisasikan pelbagai aktiviti khidmat bakti dan kemasyarakatan demi mengangkat imej dan reputasi serta identiti UiTM yang sememangnya senantiasa memperjuangkan pembangunan dan pembelaan nasib anak bangsa Melayu di Negara ini.
Pada majlis yang sama, saudara Muhammad Alfi Bin Arif selaku Yang Di-Pertua MPP UiTM Melaka turut bersama-sama turun padang dalam menjayakan program ini.
Menurut Alfi, ini merupakan salah satu program yang mampu merapatkan ukhwah barisan MPP dengan para mahasiswa UiTM Melaka sekaligus beliau sangat menghargai komitmen serta penglibatan para penuntut UiTM Melaka yang memberi kerjasama dalam menjayakan program ini dalam masa yang sama memberi impak yang besar kepada UiTM sendiri.
Manakala Ketua Projek bagi program ini, saudara Syed Mohd Amirul Syed Abdul Basek selaku Exco Perhubungan Dalaman, Luar & Antarabangsa, Kampus & Alumni serta Komunikasi Koporat berkata, program ini dianjurkan dalam masa yang sama adalah bagi meringankan beban para mahasiswa UiTM yang menetap diluar kampus.
Sedia maklum bahawa bagi para mahasiswa yang menetap diluar kampus, mereka perlu membayar sewa rumah, bil elektrik dan air, kos sara diri, dan pelbagai lagi.
Lantas program sebegini mampu meringankan beban mereka. Selain itu, Syed Amirul turut menyatakan bahawa program ini dianjurkan pada bulan Ramadhan dengan saranan serta sunnah Nabi Muhammad S.A.W supaya umatnya memperbanyakkan beribadah, bersedekah dan membuat amal jariah sepanjang bulan yang mulia ini.
Program tersebut telah tamat pada jam 4 pagi dan berlangsung dengan jayanya. Justeru, program yang mulia sebegini harus dianjurkan dari semasa ke semasa.
(Oleh: Harits Asyraf, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM Cawangan Melaka)

1 ulasan:

 
Alright reserved by kb|Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman gantung sampai mati jika anda didapati bersalah.